NAK LIHAT TASIK DENGAN AIR YANG JERNIH KEHIJAUAN
Tidakkah anda teringin untuk melihat pemandangan cantik sebegini? Air yang sejenih kristal juga kehijauan seperti batu jade dan latarbelakang pergunungan Alps yang memukau pandangan dan menyenangkan segala pancaindera anda.
Rakyat Malaysia jarang berkunjung ke tempat sebegini kecuali mereka yang betul-betul sukakan keindahan alam semulajadi atau mereka yang betul-betul “mengembara” sahaja.
Gambar di atas diambil di sebuah tasik di bahagian selatan negara Jerman yang di panggil Öbersee. Ia terletak di sebuah daerah yang bersempadan dengan negara Austria di kawasan banjaran Alps.
Tasik ini dikelilingi oleh dinding perbatuan dan menghasilkan gema yang sangat jelas. Biasanya bot-bot pelancong akan berhenti di tengah tasik untuk membunyikan trumpet bagi menunjukkan betapa jelas gema atau “echo” yang dihasilkan. Bunyi dari satu trumpet akan bergema seolah-olah ada 7 pemian trumpet sedang bermain bersama.
Tasik Königsee dan Öbersee asalnya adalah satu tasik yang besar namun selepas kejadian tanah runtuh, tasik ini terpisah dua.
Kedua-dua tasik ini terletak di sebuah daerah bernama Berchtesgaden. Jika anda sukakan alam semulajadi dan ingin melihat pemandangan yang cantik berlatarbelakangkan pergunungan yang diliputi salji seperti di dalam poskad, inilah tempatnya. Anda pasti akan ternganga dan perkataan “wow” tidak lekang dari bibir anda.
Bagaimana ke sini.
Dari Munich: 2jam 45 minit dengan tren.
Dari Salzburg: 45 minit dengan menaiki bas.
Dari stesen keretapi Berchtesgaden anda boleh ambil bas 841 terus ke pekan kecil Königsee dengan jarak perjalanan cuma 10 minit. Teksi juga membawa penumpang ke sana dengan bayaran beberapa euro sahaja.
Kalau anda memilih untuk hiking dari Berchtesgaden ia akan mengambil masa sekitar 1.5 jam.
Waktu operasi dan bayaran.
Ia merupakan kawasan awam dan terbuka. Bayaran dikenakan untuk menaiki bot iaitu bermula dari €3.00 hingga €17.00 bergantung kepada jenis trip dan jarak. Sila layari www.seenschifffahrt.de untuk maklumat lanjut.
Tempat makan.
Sangat sukar mendapatkan makanan halal di sini. Tiada kafe atau restoran Turki yang menjual kebab namun bayak kafe-kafe dan restoran lain. Terdapat juga fast food Burger King di Berchtesgaden.
Tips.
Bulan Julai-September merupakan waktu puncak dan pelancong sangat ramai. Seeloknya keluar awal pagi sebelum pukul 10 bagi mengelakkan beratur panjang. Trip pergi balik naik bot adalah sekita 2 jam setengah. Disarankan untuk anda beli tiket full trip yang berharga €16.90 dan anda akan dibawa sampai ke Obersee.
——————————-
Ini adalah petikan sebahagian daripada kandungan buku saya berjudul I’m A Backpacker: Jerman yang akan berada di rak kedai-kedai buku utama awal tahun hadapan.
Bagi yang berminat untuk berkunjung dan menikmati negara Jerman, jangan lupa dapatkan buku tersebut nanti.
© 2016 KHAIRUL ABDULLAH. Hakcipta Terpelihara
No comments:
Post a Comment